Tuesday, August 26, 2008

Kumpulan Pendidikan Legenda Lahir Pelajar Kejuruteraan Berwibawa

NAJIB Razak tertarik melihat hasil ciptaan pelajar kampus
Kumpulan Pendidikan Legenda pada perasmian kampus itu di
Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan di rantau ini kian menjadi kenyataan. Pelbagai institut pengajian tinggi dan sekolah ditubuhkan bagi merealisasikan impian itu.

Kecemerlangan sesebuah negara juga sedikit sebanyak bergantung kepada kebijaksanaan dan kepakaran golongan muda yang bakal mentadbir negara pada masa akan datang.

Lantaran itu, kewujudan kolej-kolej swasta pada masa kini dilihat sebagai satu platform untuk anak-anak muda yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk merealisasikan hasrat mereka untuk menuntut ilmu dan menyumbang sesuatu kepada agama, bangsa dan negara.

Kumpulan Pendidikan Legenda merupakan sebuah institusi swasta terbesar di Malaysia bagi pengajian teknologi kejuruteraan, alam sekitar binaan dan pendidikan selain terunggul dalam bidangnya sendiri.

Institusi ini merangkumi Institut Teknologi Pertama (ITP), Kolej Linton, Kolej Legenda dan Kolej Jati Legenda. Institusi ini terkenal dengan kepakaran tenaga pengajarnya kerana berjaya melahirkan mahasiswa yang menjadi perintis dalam bidang kejuruteraan, alam sekitar binaan dan teknologi menerusi dua buah institut mereka yang telah terkenal sejak 20 tahun lalu iaitu ITP dan Kolej Linton.

Untuk meneruskan kecemerlangan pendidikan yang dipelopori selama ini, institusi ini telah menubuhkan sebuah kampus pembelajaran dan pengajaran di Bandar Universiti Teknologi Legenda, Mantin, Negeri Sembilan.

Majlis perasmian kampus Kumpulan Pendidikan Legenda itu dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 31 Januari 2008. Majlis perasmian itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad; para kenamaan dari lebih 20 negara dan tidak ketinggalan Naib Canselor University of East London (UEL), Prof. Martin Everett.

Menurut Penyelaras Perhubungan Awam dan Komunikasi Kumpulan Pendidikan Legenda, Om Karini, kampus tersebut yang terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira 50 kilometer (km) di selatan Kuala Lumpur, telah didirikan di atas tanah yang berkeluasan 62 hektar dengan kos sebanyak RM1.1 bilion.

“Pelbagai kemudahan dan kelengkapan telah disediakan bagi memberikan keselesaan kepada pelajar termasuk makmal, perpustakaan, peralatan sukan, tempat rehat para pelajar, kafe, kedai serbaneka dan sebagainya.

“Selain itu, untuk memberi lebih keselesaan kepada para pelajar, kami telah menyediakan lebih 5,000 unit kediaman untuk kira-kira 25,000 pelajar di dalam dan di sekitar kampus,” katanya.

Tambah beliau lagi, kemudahan pengangkutan awam dan kereta api yang wujud memudahkan pelajar dan orang ramai untuk keluar masuk ke kampus tersebut.

Pada majlis perasmian itu juga, satu perjanjian kerjasama telah ditandatangani antara Prof. Martin Everett dan Rektor Kumpulan Pendidikan Legenda, Dr. Kamis Awang dengan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan para tetamu.

Perjanjian Program Kerjasama UEL itu menjadikan Kumpulan Pendidikan Legenda sebagai kolej perintis yang menawarkan ijazah kejuruteraan 3+0 di Malaysia.

Katanya, para pelajar akan dianugerahkan dengan ijazah dari University of East London selepas mereka menamatkan pengajian.

“Antara program Ijazah Sarjana Muda 3+0 yang boleh ditamatkan di Malaysia ialah Sarjana Muda Kejuruteraan (kepujian) Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Tenaga/ Kawalan/ Komunikasi), Sarjana Muda Kejuruteraan (kepujian) Kejuruteraan Awam, Sarjana Muda Sains (kepujian) Kejuruteraan Perisian, Sarjana Muda Sastera (kepujian) Pengajian Perniagaan dan Sarjana Muda Sastera (kepujian) Perakaunan dan Kewangan.

“Kami akan menawarkan lebih banyak lagi program termasuk medisains, farmaseutikal, kejururawatan dan penjagaan kesihatan sebelum akhir 2008 susulan daripada pemerolehan Institut Mutiara Mopar,” ujarnya.

Sejak pembukaan kampus sendiri di Mantin pada tahun 2002, jumlah pelajar yang menuntut di institusi tersebut semakin meningkat sehingga 3,500 dan bilangan pelajar dari luar negara juga bertambah.

Info : Utusan Malaysia Online 27/02/2008

1 comment:

Anonymous said...

Interactive nyer blog.....
jgn lupa view my blog tau...